Monday 29 June 2015

Jurnal 19/44 : 5 rahsia kaya sehingga jutawan

Teks : Nor Azlina Najib

Sekali imbas tajuk ini menyinggahi dinding muka buku saya, tanpa sebarang kompromi terus saya klik sumber berikut iaitu dari Oh Bulan dan membacanya satu persatu. Pada saya ini merupakan kisah sebenar dari seorang yang biasa-biasa kepada orang yang luar biasa. Hebat kerana beliau berjaya merealisasikan impian beliau. Mari kita ikuti apa rahsia Pn. Hani Borhan iaitu pengasas Jamu Susuk Dara melalui artikel dari laman sosial tersebut : 

1. Jangan Biasakan Berhutang



Benar, hutang itu ibarat gunting dalam lipatan, menyusup tanpa di sedari dan akhirnya merana di kemudian hari. Walaupun hanya bermula dengan jumlah yang kecil, tetapi lama-kelamaan hutang tersebut akan menjerat leher sendiri sehinggakan akan ada satu ketika, semua atau sebahagian besar wang gaji dihabiskan semata-mata untuk membayar hutang. Kebiasaannya hutang ini bermusim, seperti musim perayaan, musim persekolahan baru di buka, musim kenduri kendara atau musim walimatul urus. 

Mengapa saya simpulkan sedemikian? Kerana pada masa inilah aliran wang tunai menjadi lebih mudah mengalir dan ada ketikanya pembelian barang-barang yang tidak perlu pun di beli juga. Berhati-hati juga dengan sekeping kad yang mampu menambahkan amalan berhutang dengan pantas - KAD KREDIT.

2. Usaha & Dekati Allah s.w.t

Benar, kerana kita manusia hanya sekadar mampu berusaha untuk melipat gandakan usaha untuk mencari sebanyak mana rezeki, tetapi semuanya bergantung kepada Yang Maha Pemberi Rezeki. KepadaNYA kita wajar menyerahkan semua usaha kita. Usaha seikhlasnya, dan dekati Allah dalam pelbagai cara. Samada melalui solat atau melalui ibadah lain terutamanya bersedekah. Jangan menidakkan keupayaan sedekah, kerana Allah telah berjanji bahawa :

Dari Abu Hurairah ra. yang berkata bahwa Rasulullah saw. bersabda:
Harta tidak akan berkurang karena shadaqah. Allah pasti akan menambah kemuliaan seseorang yang suka memaafkan. Juga tidaklah seseorang itu merendahkan diri karena Allah, melainkan ia akan diangkat pula derajatnya oleh Allah 'Azzawajalla.
(HR Muslim)


Dapatkan bacaan Allah Tempat Meminta, dengan klik BORANG TEMPAHAN 

3. Cara survive jika kurang wang.


Seandainya terdapat pada masa-masa tertentu, kesempitan wang terdapat pelbagai cara atau langkah pencegahan yang Puan Hani kongsikan seperti mengawal pembelian seharian, tidak membeli baju mengikut trend semasa, membeli di pasaraya dengan harga mampu milik walaupun baju bundle, atau membaiki kelengkapan yang rosak dari membeli peralatan baru.

Tambahan juga kepada idea di atas, adalah membawa bekalan makanan di pejabat/sekolah anak-anak, menaiki pengangkutan awam (sekiranya ianya lebih menjimatkan), menghad atau membatalkan servis-servis perkhidmatan tertentu seperti saluran TV swasta atau menggunakan talian telefon prepaid

4. Kumpul duit ansuran setiap bulan.


Ini merupakan langkah menabung tetapi telah menetapkan sasaran pembelian dengan tabungan tersebut. Contoh yang diberi oleh Puan Hani adalah membeli mesin cuci 10kg dengan harga RM1,600. Jika belian pada masa sekarang, anda hendaklah membayar RM176 setiap bulan selama 24 bulan (RM176 x 24 bulan). Saranan Puan Hani, adalah kita membuka satu tabung khas yang di labelkan "Mesin Cuci Toshiba 10KG Automatik" dan memperuntukkan sejumlah Rm176 setiap bulan ke tabung berkenaan. Buat masa ini, anda perlu mencuci secara manual - tangan!

Kira-kira ini biasanya di pandang remeh oleh sesetengah pihak, dengan mengambil kira bahawa beliau mampu untuk berbelanja RM176 (pada hakikatnya berhutang!). Jika di buat kira-kira mudah, jika pembelian melalui ansuran mudah ini anda telah rugi sejumlah RM2,624 berbanding harga asal Rm1,600

Belian mesin cuci (April 2014 - April 2016) 
Harga Asal RM 1,600
Harga Bulanan RM176 x 24 bulan = RM4,624
Kerugian RM (4,624 - 1,600) = RM2,624

Berbanding dengan jika anda menyimpan RM176 bermula April 2014, anda akan memperolehi Mesin Cuci Toshiba 10KG Automatik pada bulan Disember 2014 secara tunai. Atau anda boleh membeli mesin cuci separa automatik sebelum meneruskan tabungan seperti sebelum ini.

5. Tabung dari Bakal Hutang



Ini sebenarnya adalah kesinambungan kepada langkah yang  di atas, sekiranya tabungan tadi disambungkan dari Januari 2015 sehingga April 2016 dengan jumlah yang sama RM176.00, maka anda akan dapat kumpulkan sejumlah RM2,816.00. Dengan jumlah berikut, anda telah mempunyai satu lagi peruntukan membeli mesin cuci automatik (dengan beranggapan anda telah membeli mesin cuci separa automatik) dan baki tunai selebihnya boleh di simpan dalam tabungan lain contohnya ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Dan sebagai menyokong langkah kedua, sedekahkan mesin basuh separa automatik tadi kepada rakan atau mereka yang kita tahu memerlukan barangan tersebut.

Nampak mudah, tetapi amalan ini hendaklah disertai dengan sikap sabar, syukur dan bersangka baik (3S). Puan Hani telah membuktikan ianya bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk menjadi jutawan pada usia muda, tetapi hendaklah disertakan dengan cara yang betul. 

Sekian sahaja penulisan saya pada kali ini. Di lain masa saya juga akan memetik kata-kata seorang usahawan juga jutawan muda yang banyak memberi inspirasi melalui laman muka buku beliau. 

Nantikan penulisan saya selanjutnya.





No comments:

Post a Comment